Wednesday, November 24, 2010

Nafas Terakhir


Hujan renyai-renyai di pagi itu membuatkan Shila berlari-lari anak pulang ke rumahnya. Memang menjadi kebiasaan Shila untuk bersiar-siar ditaman di hadapan rumahnya mencari tenang di hati seusai solat subuh. Shila kini bukan lagi seperti Shila yang dulu. Baru beberapa bulan Shila tekad menjalani kehidupan sebagai muslim sepenuh masa. Sebelum ini Shila tidak kenal erti solat. Telekung untuk solat pun berhabuk dalam almari rumahnya. Terakhir dia menyentuh telekung itu adalah saat-saat dia diijab kabul dengan suaminya 4 tahun lalu. Itupun telekung itu hanya menjadi hantaran perkahwinan semata-mata. Dan beberapa bulan lepas, Shila tekad 'menyentuh' kembali telekung yang disimpan rapi dalam almari rumahnya.

Hatinya sayu. Sampai dirumah, Shila lantas membuka peti sejuk rumahnya dan mencapai air mineral sebagai penghilang dahaga. Saat-saat menuang air ke dalam gelas, matanya terpandang kalendar didinding rumahnya.

" Hari ini 23 Sya'ban." Monolog hatinya.

" Maknanya lagi 7 hari la nak masuk Ramadhan." Hati kecil wanita itu sambung bermonolog.

Tiba- tiba hatinya menjadi semakin sayu. Bimbang adakah masih ada harapan untuk dia bernafas di 1 Ramadhan kali ini. Orang lain mungkin punya sebab tersendiri mengapa tidak sabar menanti Ramadhan saban tahun. Namun bagi Shila, dia mungkin satu antara seribu muslim yang punya alasan tersendiri mengapa hati sayu menanti Ramadhan kali ini. Ramadhan kali ini paling dinanti Shila kerana ini Ramadhan pertama yang mungkin akan memberi makna kepada Shila.

Ramadhan Shila dulu..............
Dulu Shila macam tak pernah melalui Ramadhan. Dibesarkan dalam keluarga yang berada dan menjalani kehidupan bersama keluarga di negara barat membuatkan kehidupannya tidak ubah seperti kehidupan masyarakat kulit putih disana. Entah bila Ramadhan, entah bila pula Syawalnya tidak pernah dia ambil kisah. Nak menjalani ibadah puasa, jauh sekali. Dalam sehari arak pun tidak boleh lekang dari diteguknya. Ahli keluarga pun tidak ada yang puasa, malah daddy Shila sebagai ketua keluarga pun tidak pernah ajar cara berpuasa.
Malah, Shila juga pernah mencabar rakan islamnya yang berpuasa dengan makan didepan mereka tanpa rasa bersalah.

Suami Shila..........
Shila nekad mengahwini teman lelakinya. Namun kehidupan Shila nyata tiada perubahannya lantaran suaminya juga kaki mabuk, kaki wanita dan tiada masa membimbing isteri ke jalan yang benar. Masuk Islam pun sebab mahu berkahwin dengan Shila. Gaya hidup tetap sama dengan masyarakat kulit putih disekeliling mereka.

Takdir meletakkan mereka hanya boleh bersama selama setahun kerana suaminya meninggal dunia akibat mengambil dadah berlebihan.

Solat Shila......
Shila tahu apa itu solat. Malah seringkali melihat rakan Islamnya berjemaah di universiti tempat dia belajar. Namun tidak pernah pula Shila cuba melaksanakan amalan wajib bagi umat Islam itu. Kadang-kadang Shila hairan melihat rakan islamnya yang tenang saja saat masalah melanda. Musim-musim peperiksaan juga dilalui dengan tenang sedangkan Shila, masih lagi terkontang kanting minum arak setiap malam musim peperiksaan akibat tekanan yang dirasakan. Baginya tiadalah yang boleh menghilangkan tekanan melainkan diteguk air haram itu.

Suatu malam, Shila bertanya kepada rakan islamnya, Aida ( bukan nama sebenar);
" Mengapa saya lihat kamu tenang sahaja walaupun esok kita ada exam yang semua orang tahu susah." Tanya Shila dalam bahasa Melayu walaupun bahasa melayunya sudah tidak seperti orang-orang melayu lain.

" Bertenang saja hadapi kehidupan. Kerana kita ada tempat mengadu. Waktu belajar kita belajar bersungguh-sungguh. Waktu beribadat, kita beribadat bersungguh-sungguh. InsyaAllah Shila, kita kan ada tempat mengadu. Dia sentiasa setia mendengar doa rintihan kita" Jawab.

" Siapa dia?" Shila mula kehairanan.

" Allah s.w.t." Kata Aida sambil menutup naskhah al-quran yang sedang dibacanya.

" Siapa tu? Tak kenal pun." Tanya Shila lagi.

" Tak kenal?." Aida bertanya kembali dengan riak sedikit terkejut diwajahnya.

Memang agak mengejutkan wanita Islam berusia 20-an tidak mengenal Allah s.w.t. Tapi itulah hakikat kehidupan Shila. Bukan salah diri yang tidak tahu, mungkin ibubapa Shila tidak pernah mengajar Shila tentang itu. Sememangnya sedih apabila Shila ditakdirkan membesar dalam keluarga yang longgar pegangan agamanya. Ayahnya orang melayu, memilih berkahwin dengan wanita yang berlainan bangsa dan agama. Malah, selepas berkahwin, ayahnya pula hanyut dan terikut-ikut budaya ibunya. Membuatkan ayahnya lupa tentang solat, puasa, zakat, apatah lagi ibadah haji.

"Allah itu Pencipta kita. Kalau Allah tidak mengizinkan kita hidup dimuka bumi ini, tiadalah kita disini. Dan kalau awak baca dan faham isi kandungan al-quran. Segalanya terasa mudah apabila kita menjalani kehidupan berteraskan kitab suci ini." Terang Aida sambil menunjukkan naskhah al-quran yang dipegangnya.

Shila tertunduk. Berfikir sejenak. Mungkin dia bicara dalam hatinya.

" Kalau saya ada masalah, saya pun ada cara saya untuk tenang. Saya minum arak. Lepas tu rasa semuanya hilang. Saya dalam dunia saya." Kata Shila.

" Lepas minum air tu, adakah masalah awak hilang dan selesai?" Aida menguji.

" Hilang sekejap. Bila saya bangun esok pagi, saya kembali berfikir tentang masalah itu. Maknanya masalah saya tak selesai pun sebenarnya." Shila menjawab sambil membelek-belek telekung yang dipakai Aida.

"Kalau cara saya ini. Masalah selesai dan hati pun tenang. Sebab saya mengadu kepada pencipta kita, Allah. Allah yang mencipta kita. Dia tahu semuanya pasal kita. Allah tahu apa yang kita mampu hadapi. Allah tahu juga apa yang kita tak mampu hadapi. Sebab itulah, bila mana sesuatu berlaku kepada saya, saya rasa Allah menguji saya kerana saya mampu." Kata Aida lagi.

Perbualan malam itu berakhir disitu. Ada sesuatu yang melekat dalam hati Shila. Sejak itu Shila sering berdamping dengan Aida. Kagum benar dia dengan wanita islam bernama Aida itu. Pakaiannya menutup aurat. Gaya percakapannya lemah lembut. Alunan bacaan al-qurannya sedap didengar. Solatnya penuh teratur dan dilakukan seusai masuk saja waktu solat. Segalanya dilalui dengan tenang. Saat-saat rakan lain tertekan belajar diwaktu peperiksaan, Aida masih kelihatan tenang. Waktu belajar dia belajar, waktu solat tidak pernah sekalipun diabaikan. Dan yang nyata, Aida sering mendapat keputusan yang amat baik dalam peperiksaan. Itu menambahkan lagi keyakinan Shila untuk mendampingi insan bernama Aida ini.

Satu persatu hukum Islam dipelajari. Shila banyak belajar dari Aida. Belajar tentang apa erti kalimah syahadah. Apa erti dia lahir sebagai Islam. Apa erti solat. Apa erti berdoa. Aida nyata gembira dengan perkembangan Shila. Walaupun Shila terpaksa belajar mengaji bermula dengan membaca iqra', namun bacaannya seringkali menunjukkan peningkatan. Aida pua tidak pernah rasa jemu mengajar Shila kembali mengenal fitrah manusia dan mngajak Shila menjalani kehidupan bertuhan....

3 januari 2009 merupakan hari paling bermakna dalam kehidupan Shila apabila dia bertekad menjalani kehidupan sebagai muslimah sejati. Tiada lagi warna dirambutnya. Kini rambut itu tertutup rapi dengan tudung-tudung yang baru dibelinya. Telekung yang berhabuk dalam almarinya kini tidak lagi terlipat kemas dalam almarinya. Kini telekung itu yang disarung lima kali sehari. Kini telekung itu yang disarungnya saat diri tertekan tandanya kini apa jua masalah yang dihadapinya, segalanya diadukan kepada Allah dalam sujudnya.

Shila bertekad pulang ke Malaysia selepas tamat pengajiannya di US. Kini, Shila hidup sendirian. Namun tidak pernah pula dirasakan sunyi kerana dia ada Allah yang sentiasa bersamanya. Bulan berganti bulan, kini shila menghitung hari menanti detik datangnya Ramadhan. Kerana dia rindu untuk berpuasa dibulan mulia itu. Dia tidak sabar memulakan ibadah puasa yang sebenarnya. Dia tidak sabar untuk bersahur, berbuka puasa, solat terawih seperti yang diajarkan oleh Aida suatu ketika dahulu. Dia tidak sabar lagi merasakan nikmatnya menahan nafsu dari melakukan perkara-perkara yang biasa dilakukan.

Laungan azan dari masjid disebelah rumah Shila mengejutkan Shila dari lamunan panjangnya. Sudah zohor rupanya. Lantas Shila mempersiapkan diri dan bergerak menuju ke masjid. Itulah Shila sekarang. Walaupun bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat korporat dan punya gaji lumayan, namun apa yang dirasakan adalah semua itu tidak mampu dikecapi tanpa izin Allah s.w.t. Shila nekad membeli rumah berhampiran masjid untuk memudahkan urusan ibadahnya dijalankan di masjid itu. Dan baginya laungan azan yang didengari saban waktu itu juga menjadi motivasi untuknya mengingat waktu—waktu untuk tunduk menghadap Pencipta.

Masa terus berlalu. Dan kini sudah 29 Sya'ban. Walaupun sebelum ini sudah berkali-kali melatih diri berpusa, menggantikan puasa-puasa yang ditinggalkan semasa zaman jahiliahnya, namun ia tidak akan sama dengan nikmat berpuasa di bulan Ramadhan.

" Esok puasa. Kalau ajak Aida iftar dirumah elok juga ni ." Shila bermonolog lagi dan mencapai kunci kereta Nissan Murano miliknya dan menuju ke supermarket untuk membeli keperluan bersahur dan berbuka puasa.

Takdir mengizinkan Shila melalui terawih pertama dan nikmat bersahur di malam pertama Ramadhan. Dan Shila juga gembira berbuka puasa bersama Aida.

" Siap-siap la, nanti kita nak pergi solat isyak dan terawih di masjid sebelah." Kata Shila seusai mereka solat maghrib berjemaah di rumah Shila.

" Elok juga tu, jom Shila." Kata Aida sambil melipat telekung dan memasukkannya ke dalam beg.

" Aida, sebenarnya saya gembira sangat dapat rasai nikmat sebenar berpuasa di bulan Ramadhan. Kalau saya mati sekarang pun mungkin boleh tersenyum sebab impian bernafas di satu Ramadhan dimakbulkan Allah. Dan yang lebih mengembirakan saya, hari ini saya dapat berbuka puasa dengan sahabat yang amat saya sayang." Kata Shila ketika dia melipat telekungnya.

" Jangan cakap macam tu. InsyaAllah bertemu lagi Ramadhan tahun depan." Aida mengusap-usap kepala Shila.

" Saya masuk bilik kejap ambil al-quran saya ye." Kata Shila sambil melangkah ke biliknya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi kuat dari dalam bilik Shila. Aida terus berlari melihat apa yang sedang berlaku. Lemah longlai lutut Aida saat-saat melihat badan Shila terbujur dengan darah keluar dari hidung dan telinganya. Apakah lagi yang mampu dilakukan selain berdoa memohon ditenangkan hatinya menghadapi situasi itu. Lantas tangan Aida mencapai telefon bimbitnya dan membuat panggilan kecemasan ke hospital.

Dan lemah longlai sekali lagi badan Aida saat-saat melihat doktor keluar dari bilik pembedahan dan jururawat di belakang sedang menarik kain menutup muka Shila yang terbaring di katil. Apakah sudah tiba saat-saat yang paling tidak diingini dalam hidupnya. Aida tunduk beristighfar bimbang air mata yang turun ke pipi itu adalah air mata yang tidak redha dengan pemergian rakan baiknya itu.

" Kawan saya sakit apa doktor?" Aida bertanya ingin tahu.

" Kawan awak tak ada cerita apa-apa ke pasal penyakit dia?" Doktor tanya Aida kembali.

" Tak ada pula." Jawab Aida ringkas.

" Sebenarnya jantung kawan awak sudah lama lemah berfungsi kerana kandungan alkohol yang berlebihan dalam jantung. Mungkin dia terlebih mengambil alkohol diusia muda menyebabkan jantungnya menjadi lemah. Mengikut jangkaan, dia hanya mampu hidup sehingga minggu lepas sahaja tetapi Allah masih memanjangkan usianya hingga ke hari ini." Terang doktor itu panjang lebar.

" Subhanallah. Mungkin Allah ingin pertemukan Shila dengan Ramadhan. Shila kuat berdoa supaya disampaikan kepada Ramadhan. Mungkin satu hari di bulan Ramadhan yang Shila lalui ini sudah cukup bermakna buat dirinya." Aida bermonolog.

Yang mesti diterima dengan redha sekarang, Shila hanya diizinkan bernafas selama 29 tahun saja dalam hidupnya. Shila hanya mampu melalui sekali sahaja nikmat bersahur, menahan lapar, berbuka puasa dan nikmat berterawih. mungkin tahun 2009 itulah kali pertama dan terakhir Shila merasai nikmat Ramadhan yang sebenarnya.

Moral:
Ajal maut tidak mengenal usia.. segala perbuatan kita ada pembalasannya. Jika baik maka baiklah balasannya dan begitu juga sebaliknya. Pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba Allah yang ingin benar-benar bertaubat.


No comments:

Post a Comment